Friday, November 14, 2008

Andai aku...1

Kadang-kala tersenyum sendiri bila mengenang diri dan masa depan. Termenung sejenak bila minda sesekali berfantasi tentang hari-hari esok yang entah ada lagi atau tidak. Tiadalah harapan menggunung untuk sebuah masa depan. Hanya sekadar mengharap simpati kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Andai aku diberi peluang untuk menikmati saat-saat bahagia tika dan saat ini, tentu sahaja kotak mindaku menulis 'Imam Khatabi @ Baduwi bin Mukhlas'... dialah abahku yang telah lama meninggal pergi. Semasa hayatnya aku jarang bergurau mesra dengannya. Setelah 8 tahun berlalu, terasa kehilangan...sunyi dan rindu akan panas baran dan bebelan yang pasti mengguris-guris benak hati remajaku tika itu. Jiwa berontakku tak pernah kuluahkan kepadanya kerana sentiasa tersemat di sanubari ini..'dia abahku'. Yang tetap setia tika itu hanyalah linangan air mata, merembes sedu sambil meracak-racak tanah dengan reranting kayu di suatu sudut halaman rumah. "Mengapa abah marah aku tak tentu pasal, apa salah aku? arrhhh!", bungkam hatiku meronta.

Itu sebahagian daripada cebisan cerita dalam lipatan cerita aku dengan abah. Mungkin nanti aku bercerita lagi andai aku masih punya kudrat mengupas nostalgiaku bersama abah. Aku sayang abah, walaupun kutahu abah tak pernah mendokongku sewaktu kecilnya aku.

No comments: