Tuesday, December 2, 2008

Berkorban perlu terkorban?

Aduhai...sengal-sengal badan dibuatnya. Hujung minggu lepas, aku dan keluarga balik ke kampung mengecat rumah baru ibu yang masih belum siap sepenuhnya. Berjemur dek terik mentari, menggelapkan kulitku yang sawo matang ini. Apabila siap sahaja rumah ini nanti, di sinilah tempat aku dan keluarga beristi-rehat bila berkunjung ke kampung. Tidak perlu lagi menumpang rumah sanak-saudara lain.
Apabila tiba hari raya haji minggu depan, ibu berhasrat menumbangkan seekor lembu untuk dibuat korban. Terdetik di mindaku; Adakah pengorbanan itu perlu ada yang terkorban? Dalam konteks lembu itu, tentulah akan terkorban tetapi bagaimana pula pengorbanan dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika perlu terkorban, kesian pula kepada mereka yang terkorban itu. Moga apa jua pengorbanan yang dibuat itu dilakukan dengan penuh ikhlas dan kerana Allah.

Friday, November 28, 2008

Suatu persepsi

"Tidak penting apa yang orang lain fikirkan tentang diri anda, tetapi apa yang lebih penting adalah apa yang anda fikirkan tentang diri anda dan orang lain". Itulah mutiara kata yang sudah sekian lama tersemat dalam jiwa dan mindaku bila memperkatakan tentang persepsi diri dan persepsi orang lain. "Itulah kelemahan kau bro. Orang lain dah sampai ke bulan, kau?", tertusuk sembilu jantungku seketika bila seorang kawan melontarkan bicara ikhlasnya itu. Dalam benak sanubari memujuk hati sendiri. Biarlah... lanskap cerita kehidupan kita tidak sama. Aku punya dimensi pandanganku sendiri. Begitu juga mereka, bukan? Kudoakan sahaja moga mereka bahagia dan aku juga bahagia dengan caraku. "Kita tidak mampu memuaskan hati semua orang, namun apa yang kita mampu ialah melakukan yang terbaik untuk mereka dan diri sendiri", azimat penutup bicaraku sebagai ingatan diri.

Thursday, November 27, 2008

Penghulu hari

Pejam celik pejam celik sudah ketemu Jumaat si penghulu hari kembali. Begitu pantas masa berlalu. Kesibukan bekerja membuatkan kadang-kala kita lupa bahawa hidup ini bukan itu sahaja yang perlu dihabiskan masanya. Ceria kebaikan dalam melatih diri menjadi insan yang diredhai perlu pelbagai dan berterusan walau terpaksa berdikit. Tentulah jalannya tidak selalunya mudah. Namun, itulah kehidupan.

Bila tiba si penghulu hari, tidak salah rasanya ia dirai sebagai tanda kemenangan latihan diri. Itukan juga suatu motivasi? Moga kita semua terus membaiki diri dari hari ke hari sebelum ketemu si penghulu hari lagi.

Wednesday, November 26, 2008

Masalah itu cabaran

Buat sekian kalinya baru terasa hendak menyambung coretan di daerah ini. Minggu-minggu yang mencabar ditempuhi. Alangkah bagusnya andai masalah-masalah itu pergi jauh dari sisi. Perihal keluarga, kerja, diri sendiri...aarrghh berserabut otak fikiran. Entah apa yang difikirkan pun tidak tahu. Namun aku masih perlu bersyukur dan redha dengan ketentuanNya kan? Bagi aku masalah itu adalah cabaran dan setiap cabaran yang diharungi mematangkan diri dan tanpanya akan hilanglah warna-warna kehidupan. Lagak memujuk hati...

Cuma apa yang kupinta; moga Allah memberikan aku kekuatan dan aku tidak tergelincir jatuh pada jurang yang dalam.

Friday, November 14, 2008

Andai aku...1

Kadang-kala tersenyum sendiri bila mengenang diri dan masa depan. Termenung sejenak bila minda sesekali berfantasi tentang hari-hari esok yang entah ada lagi atau tidak. Tiadalah harapan menggunung untuk sebuah masa depan. Hanya sekadar mengharap simpati kasih seorang hamba kepada Penciptanya.

Andai aku diberi peluang untuk menikmati saat-saat bahagia tika dan saat ini, tentu sahaja kotak mindaku menulis 'Imam Khatabi @ Baduwi bin Mukhlas'... dialah abahku yang telah lama meninggal pergi. Semasa hayatnya aku jarang bergurau mesra dengannya. Setelah 8 tahun berlalu, terasa kehilangan...sunyi dan rindu akan panas baran dan bebelan yang pasti mengguris-guris benak hati remajaku tika itu. Jiwa berontakku tak pernah kuluahkan kepadanya kerana sentiasa tersemat di sanubari ini..'dia abahku'. Yang tetap setia tika itu hanyalah linangan air mata, merembes sedu sambil meracak-racak tanah dengan reranting kayu di suatu sudut halaman rumah. "Mengapa abah marah aku tak tentu pasal, apa salah aku? arrhhh!", bungkam hatiku meronta.

Itu sebahagian daripada cebisan cerita dalam lipatan cerita aku dengan abah. Mungkin nanti aku bercerita lagi andai aku masih punya kudrat mengupas nostalgiaku bersama abah. Aku sayang abah, walaupun kutahu abah tak pernah mendokongku sewaktu kecilnya aku.

Thursday, November 13, 2008

Langkah pertama...

Salam.
Baru nak bertatih dan nanti akan terus melangkah di daerah ini. Langkah pertama sebuah coretan tak seberapa, melayari bait kata bicara. Mengisi ruang sisi dimensi hidupku yang satu. Salam buat semua. Moga nanti aku bisa bebas melangkah, berjalan dan terus berlari di daerah ini. Terima daku seadanya andai aku diterima di alam ini. Pengalaman baru dalam sebuah titian coretan. :)